Terengganu Today

Terengganu Today

Wartawan Diugut Bunuh Selepas Buat Laporan Sekolah Milik Kerajaan Terengganu Tiada Elektrik, Air



Wartawan TV3, Mohd Ishak Abdillah Ngah, menerima ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali susulan laporan berita mengenai sebuah sekolah milik Kerajaan Terengganu yang tiada bekalan elektrik dan air pada hari pertama persekolahan, semalam.

Ugutan bunuh itu diterima melalui beberapa akaun facebook sebelum satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, petang semalam.

Dalam laporan itu, Mohd Ishak Abdillah turut mengadu yang dirinya mahu dipukul dan harta benda beliau akan dirosakkan.

Beliau memberitahu pejabatnya didatangi oleh seorang lelaki pada pukul 5.15 petang dan lelaki berusia 40-an itu telah menyatakan rasa tidak puas hati terhadap laporan berita tersebut.

Isu itu menjadi ‘panas’ apabila laporan yang disiarkan melalui facebook Buletin TV3 pada pukul 9.50 pagi semalam mengenai rungutan ibu bapa murid terhadap masalah ketiadaan bekalan elektrik dan air di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam pada hari pertama persekolahan.

Sebahagian nitizen menganggap laporan itu tidak benar, fitnah dan cuba mencemarkan imej kerajaan negeri Terengganu.

Ia menjadi semakin ‘panas’ apabila beberapa individu termasuk kakitangan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Asmawi Mukhtar dan bekas kakitangan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Sabrie Yusof memuat naik isu tersebut ke facebook Gabungan Anak Terengganu (Original).

Mereka mendakwa laporan Buletin TV3 adalah fitnah dan berniat jahat.

Tindakan itu mengundang ugutan, cacian dan kata-kata yang mengaibkan terhadap Mohd Ishak Abdillah serta petugas media yang lain.

Isu itu turut mendapat liputan berita daripada media yang lain seperti Sinar Harian, Harian Metro, Berita Harian dan Astro Awani.




Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui masalah itu dan tindakan sedang diambil bagi menyelesaikan perkara itu.

Beliau menegaskan, sesi persekolahan tidak akan terganggu.

“Kita mengambil langkah supaya perkara seperti ini tidak berulang pada masa hadapan dengan kapasiti yang kita ada. Tiada siapa yang boleh kata mereka memerintah dengan sempurna tentu ada kelemahan-kelemahannya. Tapi kelemahan itu yang perlu penambahbaikan,” katanya dalam laporan Sinar Harian, semalam.


Pengerusi Jawatankuasa Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahari Mamat berkata, masalah itu sudah diselesaikan.

Beliau berkata, Pengurusan Akademik Peperiksaan dan Penilaian Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sudah mengambil maklum mengenai masalah itu dan ia sudah diselesaikan dalam kadar segera.


Mohd Ishak Abdillah ‘difitnah melakukan fitnah’ dan diugut bunuh.


Post a comment

0 Comments