Terengganu Today

Terengganu Today

Rosol Wahid Tawar Diri Tanding Ketua Bersatu Hulu Terengganu


Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Dato’ Rosol Wahid menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Hulu Terengganu.

Beliau yang menyertai BERSATU pada Disember 2018, bagaimanapun berharap tiada pertandingan bagi jawatan terbabit untuk mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli.

“Saya bersetuju menawarkan diri bertanding jawatan utama di peringkat bahagian selepas mendapat desakan ahli parti di peringkat akar umbi. Dengan kesediaan ini, saya meminta agar tidak berlaku sebarang perpecahan dalam kalangan ahli,” katanya dalam laporan Berita Harian, hari ini.

Rosol berkata, beliau bersetuju menawarkan diri untuk jawatan nombor satu di peringkat bahagian itu selepas dimaklumkan penyandang jawatan berkenaan, Mohd Nuhairi Muhammad tidak akan bertanding.

“Jika berlaku pertandingan, saya meminta semua ahli BERSATU mengutamakan perpaduan untuk mengukuhkan parti,” katanya.

Mesyuarat agung tahunan cawangan dan bahagian BERSATU akan diadakan pada 15 Februari hingga 18 April ini, manakala mesyuarat agung tahunan parti itu pula dijadual diadakan pada 26 hingga 28 Jun.

Isnin lalu, Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan hanya bekas pemimpin UMNO yang bersih daripada rasuah dibenarkan bertanding dalam pemilihan parti yang diterajuinya itu.

Post a Comment

0 Comments