Terengganu Today

Terengganu Today

15 Projek Pelancongan Tasik Kenyir Diteruskan, Bakal Tarik Sejuta Pelancong


Kerajaan negeri memberi jaminan akan meneruskan 15 projek pembangunan di Tasik Kenyir termasuk Pusat Bebas Cukai di Pulau Bayas.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri tidak akan membiarkan projek-projek berkenaan menjadi 'gajah putih' selepas ratusan juta wang dilaburkan bagi membangunkan infrastruktur di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kesemua projek yang dibangunkan di Pengkalan Gawi, Pulau Bayas dan Pulau Poh itu telah pun siap melebihi 50 peratus dan memerlukan peruntukan sekitar RM80 juta untuk disiapkan sepenuhnya dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan memberi tempoh masa sebulan untuk mereka kemukakan perancangan bagi membolehkan projek ini diteruskan.

"Sama ada projek itu perlu melalui beberapa pengurangan di beberapa aspek, itu kita akan pertimbangkan kemudian kerana keutamaan kita adalah mahu projek ini siap," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Tasik Kenyir, hari ini, lapor Bernama.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, apabila projek itu siap kelak, pihaknya menjangkakan dapat menarik seramai sejuta pelancong setahun berbanding 700,000 orang bagi tempoh sama tahun lepas.

"(Projek di) Pulau Poh dalam bulan Ogos atau September akan siap, Pulau Bayas pula mungkin dalam tempoh setahun setengah hingga dua tahun lagi.

"Kita harap apabila semua fasiliti ini siap, bilangan pengunjung ke Tasik Kenyir akan meningkat kepada satu juta orang," katanya.

Post a comment

0 Comments