Terengganu Today

Terengganu Today

Kerajaan Terengganu Akan Hentikan Projek Bebas Cukai Tasik Kenyir


Kerajaan Terengganu kemungkinan tidak meneruskan projek pembangunan Pulau Bayas di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu sebagai zon bebas cukai atas beberapa faktor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, pengumuman mengenai keputusan itu akan dibuat selepas ia dibawa ke mesyuarat Exco nanti.

“Kita sebenarnya sedang draf kertas untuk dibawa masuk ke dalam mesyuarat Exco sama ada kita mahu tamatkan terus atau tidak. Kita memang sudah ada keputusan tapi tidak boleh diumumkan lagi.

“Projek ditangguh kerana kontraktor tidak mampu menyiapkannya dan ada kemungkinan ia akan ditamatkan, " katanya hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, pembinaan kawasan bebas cukai Pulau Bayas setakat ini sudah mencapai tahap 77 peratus melibatkan kos kira-kira RM200 juta.

Sehubungan itu Ariffin mengalu-alukan mana-mana pihak yang berhasrat memajukan semula kawasan bebas cukai Pulau Bayas sekiranya kerajaan memutuskan untuk menamatkan terus projek itu nanti bagi mengelak pembaziran.

“Kita menawarkan mana-mana pemain yang berminat untuk ambil alih Pulau Bayas datang jumpa saya bersama proposal, kita akan tengok dan nilai,” katanya.

Kerajaan Terengganu sebelum ini dilaporkan sedang menimbangkan sama ada menerus atau menamatkan projek Zon Bebas Cukai Pulau Bayas di Tasik Kenyir selepas ia tergendala selama dua tahun.

Post a Comment

0 Comments