Pengerusi
Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, penyokong
parti itu dipinggirkan dalam urusan agihan projek kepada kontraktor-kontraktor di
negeri itu.
Katanya yang
juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pelaksanaan projek tidak
bersandarkan kepada konsep tender terbuka yang sepatutnya dilaksanakan.
"Apabila
terdapat peruntukan untuk projek di daerah melalui kementerian tertentu,
sepatutnya dibuka kepada semua pihak dan bukan hanya diagihkan kepada
kontraktor dari parti tertentu.
"Apabila
penilaian dibuat secara tender terbuka, ia dibuat hanya sekadar memenuhi
syarat. Tidak mengikut tender terbuka dalam erti kata sebenarnya. Hanya orang
tertentu dapat mengambil bahagian. Ini tidak adil dan ini telah berterusan
selama setahun,” katanya.
Beliau berkata
demikian selepas majlis perasmian Konvensyen Tahunan Amanah Terengganu Kali
Keempat, lapor Bernama.
Raja Kamarul
Bahrin berharap, kerajaan pusat membuat penilaian semula mengenai kaedah penyaluran
royalti petroleum bagi memastikan semua golongan rakyat negeri itu dapat
menikmati manfaatnya.
Beliau berkata,
penyaluran secara terus royalti ke dalam akaun kerajaan negeri telah disalah
guna di mana hanya rakyat tertentu dan terpilih sahaja yang menerima
manfaatnya.
"Memang
dah lama kita dengar rungutan dari penduduk Terengganu khususnya penyokong
Pakatan Harapan bahawa mereka dipinggirkan sedangkan wang royalti ini
disalurkan oleh kerajaan persekutuan secara terus kepada negeri dengan harapan
ia bermanfaat kepada semua rakyat, bukannya secara terpilih.
"Jadi
kita rasa ini tidak ditepati oleh kerajaan PAS yang menguasai Terengganu. Banyak
salah guna dana persekutuan yang sepatutnya untuk rakyat jelata hanya diberi
kepada rakyat dari parti tertentu sahaja," katanya.
0 Comments