Terengganu Today

Terengganu Today

UMT, UniSZA Akan Dibubarkan


Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan dibubarkan bagi memberi laluan ke arah kewujudan sebuah institusi pengajian tinggi awam yang baharu hasil daripada penggabungan kedua-dua universiti berkenaan.

Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini berkata, penggabungan ini merupakan satu langkah yang wajar dilaksanakan bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi lebih nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat.

Malah, penggabungan ini dilihat sebagai salah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi terutamanya dalam memantapkan keupayaan universiti untuk mempertingkat kedudukan sosioekonomi, selaras dengan lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

Lantaran itu katanya, kementerian amat positif dengan cadangan penggabungan ini dan kini sedang menyediakan kerangka bagi pelaksanaannya.

"Sebuah Jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai oleh wakil dari kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar, serta juga wakil dari pelbagai agensi dan pihak berkepentingan bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka mengambil masa enam bulan," ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata dalam laporan freemalaysiatoday.com pada 8 September lalu, penggabungan akan memberi manfaat kepada kedua-dua universiti dan membolehkan institusi baru yang terbentuk mencapai kemajuan lebih tinggi pada kos lebih rendah. 

Bagaimanapun katanya, isu paling penting berhubung penggabungan ialah ialah aspek pelaksanaannya dan kebajikan kakitangan kedua-dua universiti terbabit. 

"Ia bukan sahaja berkaitan bajet dan penjimatan kos," kata beliau.

Post a Comment

0 Comments