Terengganu Today

Terengganu Today

Kerajaan Terengganu Sedia Ambil Alih UniSZA



Kerajaan Terengganu sedia mengambil alih Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) jika kerajaan pusat mahu meneruskan hasrat menggabungkan institut pengajian tinggi itu dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Pihak kerajaan negeri bersedia untuk menerima kembali UniSZA jika kerajaan pusat nak serahkan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, YB Satiful Bahri Mamat dalam laporan portal kerajaan negeri, teganukita.net hari ini.

Semalam, Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan kenyataan bahawa Jemaah Menteri pada 4 September lalu telah bersetuju secara prinsip dengan penggabungan UniSZA dan UMT.

Menurut unisza.edu.my, kronologi penubuhan UniSZA adalah seperti berikut:

1980 – Kerajaan Terengganu menubuhkan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan beroperasi di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin di Batu Burok.

1985 – Perletakan batu asas pembinaan kampus KUSZA di Gong Badak oleh Sultan Terengganu, Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

2005 – Pengumuman KUSZA dinaik taraf menjadi Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 26 Mac 2005.

2006 – Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) mula beroperasi pada 1 Januari 2006.

2010 – UDM ditukar nama kepada UniSZA pada 13 Mei 2010.

Laporan Sinar Harian pada 23 April 2019, UniSZA selesai membayar pampasan secara berperingkat sebanyak tiga kali berjumlah RM183.24 juta kepada kerajaan negeri susulan penyerahan KUSZA kepada kerajaan pusat.

Dalam laporan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penyerahan cek terakhir ialah bayaran berjumlah RM55 juta dilakukan pada 12 September lalu.

“Cek yang terakhir daripada jumlah keseluruhan adalah bayaran bagi tapak tanah UniSZA Kampus Gong Badak apabila bertukar daripada KUSZA kepada UniSZA dan diambil Kementerian Pendidikan,” katanya.

Sekiranya, Kerajaan Terengganu mahu mengambil alih UniSZA, berapa pula ‘harga’ yang mesti dibayar oleh kerajaan negeri kepada kerajaan pusat?

Post a Comment

0 Comments