Terengganu Today

Terengganu Today

UMNO Terengganu Jemput Semua Wakil Rakyat, Ahli Ke Himpunan 3 Menteri Besar


Badan Perhubungan UMNO Terengganu menjemput semua kepimpinan, wakil rakyat, ahli serta penyokong parti itu ke Program Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur yang akan berlangsung pada 22 Ogos ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Kuala Nerus.

Setiausahanya, Dato’ Rozi Mamat berkata, pihaknya telah mengeluarkan surat jemputan ke semua Setiausaha UMNO Bahagian di Terengganu hari ini.

Setiausaha UMNO Bahagian-Bahagian akan panjangkan jemputan ini kepada cawangan-cawangan UMNO, katanya yang juga ADUN Telemong.

“Kita telah mengadakan mesyuarat di peringkat UMNO negeri hari ini, dihadiri oleh Setiausaha UMNO Bahagian-Bahagian serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri bagi memastikan program yang dirancang berjalan dengan lancar.

“Saya menjemput kepada seluruh ahli dan penyokong parti di seluruh Terengganu untuk hadir bagi menjayakan agenda penyatuan ummah ini,” katanya hari ini.

Program anjuran Kerajaan Negeri Terengganu itu dijadualkan bermula pukul 6.00 petang dan akan dihadiri oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Kelantan, Dato' Bentara Kanan Ahmad Yaakob dengan tema pakaian bewarna putih.

Ia julung-julung kalinya diadakan bagi menjawab hala tuju yang hangat diperbincangkan di dalam negara berkait hubungan di antara kerjasama UMNO dan PAS dalam memastikan kesatuan Melayu Islam.

Difahamkan, wakil Badan Perhubungan UMNO Terengganu telah dijemput ke satu mesyuarat penyelarasan program berkenaan pada Khamis lalu.

UMNO Terengganu diwakili Setiausaha Kerjanya, Razali Bidin dan mesyuarat dipengerusikan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Post a Comment

0 Comments