Terengganu Today

Terengganu Today

Tinggalkan Paris, Demi Cinta Pulau Duyong


Jika tidak kerana kemuncak Perang Vietnam sekitar 50 tahun lalu, mungkin rakaman perjalanan hidup Christine Rohani Longuet, 76, berbeza daripada sekarang.

Namun, takdir menentukan diri warga emas berasal dari Paris itu mengabadikan lebih separuh usianya sebagai warga Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

Ikatan hubungan warga emas itu dengan kampung berkenaan ditaut erat apabila dia jatuh cinta dan ditakdirkan berkahwin dengan anak seorang imam.

1. Kali pertama ke Malaysia dan tujuannya?

Saya meninggalkan kampung halaman di Paris untuk mendalami sendiri cara pembuatan kapal layar daripada tukang bot mahir di Pulau Duyong pada 1971.

Saya sememangnya amat meminati dunia pelayaran dan pembuatan bot dan takdir membawa saya ke Pulau Duyong selepas terbaca dalam sebuah buku berbahasa Perancis mengenai tukang bot mahir yang ada di kampung ini.

Tukang bot yang ada di kampung ini boleh disifatkan unik dan istimewa serta mahir menggunakan kayu yang kukuh iaitu kayu cengal dalam pembuatan bot.

2. Apa yang membuatkan hati anda terpaut untuk menetap di Malaysia?

Mulanya saya bercadang untuk berlayar sekeliling dunia bersama anak dan selepas menempah sebuah kapal layar di Pulau Duyong, saya berlayar sehingga ke Vietnam, namun perjalanan tidak dapat diteruskan berikutan perang yang berlaku di negara itu.

Saya terpaksa berpatah balik ke Pulau Duyong dan nak dijadikan cerita, saya bertemu suami, Wan Othman Wan Abdullah, 66, yang juga anak kepada imam di Pulau Duyong.

Saya juga amat tertarik dengan seni bina rumah tempatan di sini yang begitu tinggi nilai estetikanya dan falsafah yang menjadi amalan orang Melayu.

Sifat ramah, ambil berat dan cakna yang ada pada masyarakat Melayu selain kesanggupan mereka menerima diri saya seadanya juga memudahkan saya untuk membuat keputusan tinggal terus di negara ini.


3. Pengalaman menarik sepanjang berada di Malaysia?

Terlalu banyak tapi antara yang paling tidak dilupakan ialah pengalaman menyambut bayi yang baru lahir setiap kali ada yang bersalin bersama-sama penduduk kampung.

Bagaimanapun, saya agak sedih apabila budaya itu kini semakin hilang ditelan arus kemodenan.

Selain itu, saya tak dapat lupakan kisah bagaimana saya mendorong suami untuk membina rumah tumpangan pertama di Terengganu iaitu Awi’s Yellow House yang dibina di pinggir kawasan paya bakau Sungai Terengganu kerana rindukan suasana masyarakat Eropah dan saya tahu mereka suka dengan pengalaman menginap di rumah tamu yang dikelilingi alam semula jadi yang menghijau.

Saya sendiri melukis rekaan rumah dan suami serta adiknya kemudian membinanya di atas tanah milik orang tuanya berhampiran kediaman kami.

4. Aktiviti atau pekerjaan yang pernah dilakukan sepanjang berada di negara ini?

Saya pernah terbabit dengan pembinaan tujuh buah kapal bersama suami dan turut sama disertai tukang bot mahir di Pulau Duyong antaranya Jun Bahtera yang disiapkan pada 1980.

Saya juga menulis tiga buku iaitu Puisi Duyong Pulau Rakyat, koleksi puisi tempatan dan Amanah: Journey An Architect iaitu buku mengenai hasil arkitek tempatan, Nik Mohamed Mahmood. Sekarang saya dalam proses menterjemahkan buku ditulis sasterawan negara, Arena Wati berjudul Sukma Angin yang juga berkait rapat dengan dunia perkapalan dan pelayaran.

Pernah juga menjadi wartawan sambilan dan sekarang ini saya mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam etnobotani.


5. Ayat dalam dialek tempatan yang kerap digunakan?

‘Nok beri jadi’ yang membawa maksud melakukan sesuatu sehingga berjaya.

6. Malaysia pada kaca mata anda?

Perkembangan dan arus kemodenan berlaku dengan amat cepat di negara ini. Dalam masa 30 tahun, di Pulau Duyong dan Kuala Terengganu sahaja bermacam-macam perubahan terjadi.

Apa yang saya bimbangkan, dalam mengejar kemajuan, segala khazanah alam ‘diperkosa’. Sebagai contoh di Sungai Terengganu ini sendiri dibina pulau buatan manusia yang menjejaskan kawasan paya bakau yang sudah lama di sini.

Tidak salah untuk menjadi maju, tapi biarlah tidak keterlaluan dan pada masa sama menjaga alam yang ada, sumber Harian Metro.

Post a Comment

0 Comments