Terengganu Today

Terengganu Today

Tanah Rizab Melayu: Jawapan Untuk Pengerusi PKR Terengganu



Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail mendakwa Tanah Rizab Melayu Terengganu sudah tinggal kurang daripada 100 hektar atau 0.003% daripada keluasan negeri.

Keadaan itu amat kritikal, katanya dalam laporan Berita Harian 16 Ogos lalu.

Dalam laporan itu, Azan menyalahkan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional terdahulu dan meminta kerajaan PAS kini mengotakan janji ketika menjadi pembangkang bagi menyelesaikan masalah itu.

Aktivis media sosial, Abdul Rahim Hilmi Zakariya tampil memberi ulasan berhubung isu tersebut melalui akaun facebook beliau sehari selepas itu.  

Menurutnya, undang-undang tanah Terengganu berbeza dengan undang-undang tanah negeri lain. Di Terengganu, selain Tanah Rizab Melayu, terdapat satu lagi jenis tanah yang dipanggil Tanah Pegangan Melayu.

“Seksyen 2 Enakmen Rizab Melayu Terengganu 1360 (Hijrah)(1941) menjelaskan bahawa mana-mana tanah desa (tanah mukim) yang berkeluasan kurang daripada 4 hektar yang dimiliki oleh orang Melayu atau syarikat Melayu secara automatik menjadi Tanah Pegangan Melayu dan terikat pindah miliknya kepada orang Melayu sahaja.

“Memandangkan kampung-kampung di Terengganu ini hampir 99% dihuni dan dipunyai oleh orang Melayu, pegangan tanah oleh orang Melayu di negeri ini sebenarnya adalah antara yang tertinggi di Malaysia.

“Secara keseluruhan, 60% daripada keseluruhan 1.295 juta hektar tanah negeri ini berstatus Tanah Pegangan Melayu,” jelas beliau.

Tambah Abdul Rahim Hilmi, Tanah Pegangan Melayu ini terjaga kukuh di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 90 bersama-sama Tanah Adat Melaka dan Negeri Sembilan.

“Tanah Rizab Melayu dan Tanah Pegangan Melayu ini tidak boleh dilihat dalam konteks berbeza apabila kita bercakap tentang kepentingan Melayu. Apatah lagi apabila Enakmen Rizab Melayu Terengganu memperincikan bahawa hanya tanah bandar (pekan) sahaja yang boleh diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu.

“Disebabkan sekatan definisi ini, maka Tanah Rizab Melayu menjadi kecil di negeri Terengganu. Tidak seperti negeri lain, hutan pun kita boleh isytihar jadi Tanah Rizab Melayu,” tulis beliau.

Laporan Utusan Malaysia pada 16 Ogos lalu memberitahu, kawasan yang diwartakan sebagai kawasan rizab Melayu di negeri ini sejak 1964 pada asalnya hanya di bandar Kuala Berang dan sekitar mukim Tanggol, Hulu Terengganu dengan keluasan cuma 100.36 hektar.

Bagaimanapun kata laporan itu, selepas pembatalan dibuat pada 2004 ekoran pengambilan tanah bagi pembangunan projek seperti sekolah, balai polis di samping beberapa jabatan dan agensi kerajaan, ia digantikan dengan kawasan seluas 118.21 hektar pada tahun yang sama.

Secara matematiknya, daripada 100.36 hektar, menjadi 118.21 hektar, adakah itu ditafsirkan sebagai ‘semakin berkurang’?

Post a Comment

0 Comments