Terengganu Today

Terengganu Today

Rosol Wahid Nampak Seperti Katak Bawah Tempurung


Tindakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid yang mengkritik penganjuran 'flashmob' sempena kehadiran Menteri Industri Utama, Teresa Kok ke Hulu Terengganu telah menampakkan beliau seperti ‘katak bawah tempurung’.  

Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, sekiranya Rosol merasakan tindakan Pemuda UMNO itu sebagai tidak wajar, apa pula peranan beliau sebagai wakil rakyat dalam membawa masalah peneroka dan isu pekebun kecil kepada pengetahuan Menteri.

“Daripada soal harga sawit dan getah yang merudum, kempen minum sesudu sawit sehari, isu peneroka Felda digalak tanam buluh hingga ke isu pemansuhan skim bantuan penanaman semula untuk menolong pekebun kecil, semua ini merunsingkan golongan terbabit.

“Itu belum lagi kita bicarakan soal keceluparan, kebiadapan dan keangkuhan parti DAP terhadap agama Islam, bangsa Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya menerusi hantaran dalam akaun facebook beliau, hari ini.

Ahad lalu, Pemuda UMNO bersama Pemuda PAS mengadakan satu 'flashmob' berhampiran Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, tempat berlangsungnya program rasmi Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP.

Tambah Tengku Haphiz, sebagai seorang Ahli Parlimen yang telah berpaling arah kepada Pakatan Harapan, beliau sewajarnya turut serta bersama Teresa Kok dalam satu majlis baru-baru ini bagi memastikan suara rakyat khususnya di Hulu Terengganu sampai ke telinga Menteri.

“Tugas seorang wakil rakyat bukan sekadar ‘menerima peruntukan’ dan ‘membelanjakan peruntukan’, malah lebih daripada itu ialah berusaha menyelesaikan kegelisahan yang dihadapi oleh rakyat,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu.

Post a Comment

0 Comments