Terengganu Today

Terengganu Today

RM9.9 Juta Cukai Pintu Tak Dibayar, MBKT Beri Amaran Sita 2,993 Bangunan



Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan menyita, merampas dan melelong harta benda pemilik bangunan yang masih ‘keras kepala’ tidak mahu melunaskan bayaran cukai pintu masing-masing.

Datuk Bandar MBKT, Shahidan Embok dalam laporan Bernama berkata, tindakan tegas itu diambil bagi memastikan tunggakan cukai sebanyak RM9.9 juta dijelaskan.

Beliau berkata, tindakan itu selaras dengan peruntukan Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan pihaknya telah menyenaraikan sebanyak 2,993 pemilik bangunan dalam kawasan MBKT yang belum melunaskan bayaran tunggakan cukai pintu.

"Pemilik premis telah dikeluarkan Notis Amaran dan Notis Borang E sejak Pertengahan Mac lalu. Berdasarkan peruntukan akta yang sama, jika pemilik bangunan masih lagi ingkar, MBKT boleh mengeluarkan Waran Tahanan (Borang F) selepas tamat tempoh 15 hari 'Notis Borang E' yang membolehkan harta benda milik pemilik atau penyewa disita, dirampas dan dilelong.

"MBKT juga telah melantik beberapa panel peguam untuk menguruskan kutipan tunggakan cukai pintu ini melalui tindakan mahkamah," katanya.

Katanya, Ops Sita ke atas premis akan dilakukan pada bila-bila masa setelah tamat tempoh Notis Borang E (15 hari) dan pemilik disarankan menjelaskan tunggakan cukai pintu bagi mengelakkan barang mereka disita dan dilelong.

Post a Comment

0 Comments