Terengganu Today

Terengganu Today

Peniaga Jalanan: Pernah Mohon Premis Milik Kerajaan Negeri, Tetapi …



Langkah Kerajaan Terengganu menguatkuasakan larangan berniaga di persimpangan lampu isyarat berkuat kuasa serta-merta membangkitkan reaksi pelbagai pihak, lapor Bernama semalam.  

Peniaga yang menjual ‘meatball pedas desit’ dengan jenama Brehi Makang, Fahmi Reza Razak berkata, beliau agak terkilan dengan keputusan serta-merta itu kerana tidak diberikan notis lebih awal.

"Saya baru buat pembelian tambahan stok semalam dan terkejut apabila mendapat tahu mengenai larangan ini. Memang rasa terkejut dan sedih memikirkan nasib lapan pekerja yang sama-sama terlibat dalam perniagaan ini.

"Sebelum ini saya pernah memohon premis perniagaan milik kerajaan negeri di suatu tempat namun gagal, tetapi yang peliknya premis itu kekal kosong dan masih tidak dibuka sehingga sekarang," katanya.

Sementara itu, peniaga jeruk mangga, yang popular dengan jenama ‘Pelam Asam Boi Kak Tie’, Helmi Haffizudin, menyifatkan langkah tersebut sebagai ekstrem kerana tidak mengambil kira kepentingan peniaga dan penjaja.

Helmi berkata di sebalik larangan tersebut, kerajaan sepatutnya mengambil langkah alternatif lain seperti mewujudkan lesen khas dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk membantu peniaga jalanan menjana pendapatan mereka sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada generasi muda di Terengganu.

"Sepatutnya kerajaan negeri turut mengambil kira suara kami sebagai pihak yang terlibat dengan 'trend' menjual dengan kaedah menjaja ini bukan hanya berbincang sesama pihak atasan semata-mata.

"Tindakan sebegini bukan sahaja mencurah pasir ke dalam periuk nasi kami, malah 10 pekerja anak muda yang turut berkongsi rezeki dari perniagaan ini," katanya.

Post a Comment

0 Comments