Terengganu Today

Terengganu Today

Kerajaan Terengganu Disaran Kaji Semula Kelulusan Perladangan Hutan Komersial



Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menyarankan agar Kerajaan Terengganu mengkaji semula cadangan pelaksanaan program perladangan hutan komersial di Hutan Simpan Jerangau.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar dalam laporan Bernama pada Khamis lalu berkata, sejajar dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025, pelaksanaan program sepatutnya dilakukan di kawasan tanah terbiar atau terosot dan tidak melibatkan kawasan yang masih berhutan terutamanya dalam hutan simpanan kekal.

“Kementerian mengesyorkan agar Kerajaan Terengganu mengkaji semula cadangan pelaksanaan program perladangan hutan komersial di Hutan Simpan Jerangau sepertimana yang dilaporkan oleh akhbar The Star pada 3 Ogos.

“Lebih-lebih lagi jika sekiranya kelulusan program berkenaan yang melibatkan kawasan seluas 5,000 hektar telah melebihi keluasan zon Pembangunan Ladang Hutan bagi Negeri Terengganu yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara Ke-68 Tahun 2012 berjumlah 36,899 hektar,” katanya.

Oleh yang demikian kata Dr Xavier, pihak kementerian berharap agar kawasan ini bukan sahaja terus dipelihara dan dikekalkan.

“Malahan, kawasan di sekelilingnya turut dipelihara bagi mengelakkan kawasan berkenaan menjadi terpisah dengan habitat asal apabila program perladangan hutan dilaksanakan kelak,” katanya.

Post a Comment

0 Comments