Terengganu Today

Terengganu Today

Himpunan 3 Menteri Besar: Surat Setiausaha Agung PAS Tidak Tepat



Surat jemputan dan kerahan kehadiran daripada Setiausaha Agung PAS, YB Dato’ Takiyuddin Hassan kepada Setiausaha PAS Negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang ke Himpunan Perpaduan Ummah Pantai Timur Bersama Tiga Menteri Besar mempunyai kenyataan yang tidak tepat.

Takiyuddin memaklumkan, himpunan anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama PAS Terengganu akan diadakan pada 22 Ogos 2019 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

“PAS Pusat menyokong penuh program ini yang turut mendapat sokongan dan persetujuan Badan Perhubungan PAS Negeri-Negeri Kelantan dan Pahang dan juga Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang” katanya dalam surat bertarikh 12 Ogos 2019.

Difahamkan, kenyataan Takiyuddin bahawa himpunan itu mendapat persetujuan dan sokongan daripada UMNO Terengganu adalah tidak tepat.

Menurut sumber, Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu tidak pernah diberitahu atau dijemput oleh pihak penganjur untuk berbincang atau bermesyuarat mengenai himpunan itu.

“Pada mulanya kita fikir, ia program kerajaan, tidak melibatkan parti politik.

“Jadi, hari ini, Setiausaha Agung PAS sudah maklum dalam suratnya bahawa program itu anjuran Kerajaan Terengganu dengan kerjasama PAS Terengganu,” kata sumber tersebut.

Walau bagaimanapun, tiada larangan daripada UMNO Terengganu untuk ahli dan penyokong parti itu daripada menghadiri himpunan tersebut.

Selain tersebar melalui aplikasi WhatsApp, surat beserta dengan aturcara program berkenaan turut dimuat naik dalam akaun facebook Pemuda Harapan Terengganu hari ini.

Post a Comment

0 Comments